Archive for the 'Keretan Akhbar' Category

Tiada alasan benar judi

BUTTERWORTH – Langkah kerajaan membenarkan judi bola sepak Piala Dunia dibantah keras oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) cawangan Pulau Pinang yang bimbang ‘kebenaran’ itu suatu hari nanti akan merebak kepada perbuatan haram lain pula.

“Judi adalah perbuatan yang jelas haram, diharamkan sama sekali oleh Allah Taala secara qati’e malah tiada khilaf dalam kalangan ulama bahawa judi adalah haram,” kata Naib Yang Dipertua II PUM Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin.

Mohamed Hafiz berkata, pihaknya tidak faham mengapa kerajaan dalam menghadapi gejala sosial yang semakin parah, masih mahu memberi kebenaran kepada kegiatan judi yang amat jelas bertentangan dengan hukum agama dan juga hukum moral.

“Ini yang saya pelik, sangat hairan. Saya curiga kerana dalam usaha kerajaan mengutamakan rakyat dengan nilai-nilai murni, permit judi Piala Dunia ini ternyata amat mencemarkan,” katanya.

Secara sinis, Mohamed Hafiz berkata, pihaknya bimbang jika suatu hari nanti, kegiatan maksiat seperti pelacuran pula dibenarkan, misalnya di zon yang tertentu atas alasan yang tertentu.

“Jika kita terus mengikut cara Barat, perkara seperti ini tidak mustahil. Nanti mungkin diwujudkan pula ‘zon pelacur selamat’ dengan alasan untuk mengelakkan Aids atau siplis dengan pelacurnya diperiksa oleh doktor dan diberi rawatan khusus setiap hari,” katanya.

Mohamed Hafiz berkata, pertaruhan Piala Dunia tidak seharusnya dibenarkan atas apa alasan sekalipun kerana seperti judi yang lain, ia akan turut mengundang banyak lagi gejala sosial.

“Orang ketagih judi akan jadi punca rumahtangga porak-peranda yang seterusnya mengakibatkan masyarakat kita jadi huru-hara. Ada orang bunuh diri kerana kalah judi dan berhutang. Dengan ini, tidak ada alasan mengapa ia harus dibenarkan,” katanya.

Mohamed Hafiz berkata, judi Piala Dunia yang berlangsung empat tahun sekali, tidak kurang bahaya berbanding judi yang lain kerana ada orang mungkin menganggap tempoh yang lama dan sekali sekala itu ‘tidak salah’ untuk mereka melibatkan diri.

“Dengan tanggapan seperti itu, keadaan boleh jadi tidak terkawal,” katanya.

Sumber : Sinar Harian (Utara) – 17 Mei 2010

Advertisements

Pelantikan Ellias Pengerusi PUZ sesuai

GEORGETOWN: Pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ellias Zakaria, sebagai Pengerusi Pusat Urus Zakat (PUZ), amat sesuai kerana beliau adalah tokoh agama, bukannya orang politik.

Pemangku Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nordin, berkata pemilihan Ellias tepat kerana beliau berpengetahuan luas dalam hal ehwal agama Islam.

“Soal zakat yang membabitkan kebajikan umat Islam perlu diuruskan oleh seseorang mempunyai pengetahuan dalam bidang agama dan Ellias adalah pilihan tepat jika mengambil kira aspek itu. “Kalau kita lantik dari kalangan ahli politik, kita bimbang akan wujud situasi berpuak-puak menyebabkan ada golongan tidak mendapat bantuan hanya kerana perbezaan idealogi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak memberi perkenan cadangan kerajaan negeri melantik Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, yang juga Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang sebagai Pengerusi PUZ.

Sumber : Berita Harian – 23 April 2010


Oktober 2017
I S R K J S A
« Jul    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Arkib

Kategori

Popular

  • Tiada

Blog Stats

  • 7,655 hits