GEORGETOWN: Pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ellias Zakaria, sebagai Pengerusi Pusat Urus Zakat (PUZ), amat sesuai kerana beliau adalah tokoh agama, bukannya orang politik.
Pemangku Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nordin, berkata pemilihan Ellias tepat kerana beliau berpengetahuan luas dalam hal ehwal agama Islam.
“Soal zakat yang membabitkan kebajikan umat Islam perlu diuruskan oleh seseorang mempunyai pengetahuan dalam bidang agama dan Ellias adalah pilihan tepat jika mengambil kira aspek itu. “Kalau kita lantik dari kalangan ahli politik, kita bimbang akan wujud situasi berpuak-puak menyebabkan ada golongan tidak mendapat bantuan hanya kerana perbezaan idealogi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak memberi perkenan cadangan kerajaan negeri melantik Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, yang juga Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang sebagai Pengerusi PUZ.
Sumber : Berita Harian – 23 April 2010
0 Respon to “Pelantikan Ellias Pengerusi PUZ sesuai”